Usaha, doa kunci kejayaan



​​​


Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Azmah Haji Ahad





BERAKAS, Khamis, 28 Mac. - Dengan kejayaan yang dicapai oleh pemenang-pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah tidak akan terhenti begitu sahaja, akan tetapi menjadi pendorong bagi mereka untuk terus memperkasa hafazan Al-Quran.


Awang Mohammad Fikri bin Haji Sharbini yang memenangi bagi Kategori 'E' ketika ditemui baru-baru ini menjelaskan, melihat akan kejayaan-kejayaan orang lain sebelum ini, dari situ terdetik dalam hatinya ingin mencuba dan Alhamdulillah, beliau berjaya mencapai hingga ke tahap ini.


“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas apa yang diperoleh, semuanya limpah kurnia daripada-Nya serta bersyukur juga kerana Allah Subhanahu Wata'ala memberikan keizinan kepada saya istiqamah dalam membaca dan menghafaz Al-Quran," ujarnya.


Menurutnya, antara yang sering dilakukan adalah sentiasa konsisten mengulang kaji secara hafalan bagi 30 Juzuk Al-Quran serta membuat sasaran setiap minggu khatam. Bagi anaknya pula, Dayang Nur Sofiyyah Solehah binti Mohammad Fikri turut berasa gembira dan tidak menyangka menyandang gelaran johan bagi Kategori 'A'.


Beliau menjelaskan, selain mengulang kaji bersama ayahnya, beliau juga sering mengulang kaji bersama ustaz-ustaz serta guru-guru. “Untuk mencapai kejayaan, kita perlu ikhlas serta niat bersungguh-sungguh kerana Allah Subhanahu Wata'ala," ujarnya.


Bagi Dayang 'Alya Fathiyyah binti Haji Abdul Rajid yang memenangi bagi Kategori 'B' turut melahirkan rasa syukur kerana berjaya menyandang gelaran johan sekali lagi buat kali kedua.


Beliau turut mengongsikan, sering membuat hafalan berulang kali terutama sekali pada masa yang terluang. Tambahnya, mulakan hafalan sedikit demi sedikit dan setelah hafal, kuatkan diri untuk tetap konsisten.


Sementara itu, johan bagi Kategori 'C', Awang Abdul Rasyid bin Haji Mohammad Norazmi pula menjelaskan, antara kunci kejayaannya adalah sentiasa membaca Al-Quran walaupun bukan semasa bertanding. “Alhamdulillah, saya berasa gembira dan tidak menyangka atas kejayaan ini. Saya berharap ingin terus melancarkan lagi hafazan 30 Juzuk Al-Quran," tambahnya.


Memenangi bagi Kategori 'D', Awang Ahmad Huzaifah bin Haji Awang Hasbi berkata, dengan kejayaan yang diperoleh adalah atas kurnia Allah Subhanahu Wata'ala dan juga doa dari kedua ibu bapa serta usaha dalam membalas jasa sekali gus dapat membanggakan mereka.


“Alhamdulillah merasa bersyukur atas kejayaan yang diperoleh dan insyaaAllah akan cuba meneruskan lagi hafazan 30 Juz pula serta meningkatkan lagi usaha untuk menjadi al-hafiz yang hafaz 30 Juzuk Al-Quran," ujarnya.


Close